Friday 3 January 2014

Tanggungjawab Muslim Kepada Qur'an

Assalamualaikum wbt.

Dalam kehidupan kita yang diberi masa 24 jam sehari, adakala kita rasa masa berlalu begitu cepat. Cukupkah 24 jam dalam sehari untuk kita menunaikan tanggungjawab kita? Tanggungjawab sebagai pelajar, tanggungjawab sebagai sahabat, tanggungjawab sebagai anak serta tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah-Nya.

Allah SWT telah memberikan kita "surat cinta" iaitu al-Qur'an untuk ditadabbur dalam kehidupan kita. Namun, berapa banyak masa yang kita peruntukkan dalam sehari untuk membacanya? Sedarlah, Qur'an juga mempunyai hak yang dituntut kepada manusia. Apa dia lima tanggungjawab tu?

1. Mempunyai keyakinan dan kepercayaan kepada Qur'an. Percaya tak kita pada Qur'an? Ke lebih percaya artikel di facebook yang tidak mempunyai sumber yang sahih?


2. Membaca al-Qur'an. Sudahkah hari ini?




3. Memahami makna atau tafsir Qur'an. Tak dapat nak baca kitab tafsir, jom try fahami maksud. Dapat juga ilmu baru. Ilmu bahasa Arab =)

4. Mengamalkan apa yang ada dalam al-Qur'an.

5. Menyebarkan isi Qur'an. 

Renungkan. Adakah lima tanggungjawab kita kepada Qur'an sudah tertunai hari ini?



Semoga bermanfaat ^_^

Wednesday 18 December 2013

Kecil Hati: Duri Dalam Daging


TUGASAN BLOG SVW 502

KECIL HATI: DURI DALAM DAGING

Nurul Nadiah Binti Md Salleh
No. Matrik: P-SM0153/12
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan
(Pengurusan Pembangunan Islam)


Dalam hubungan manusia sesama manusia (hablumminannas), pastinya akan terjadi sesuatu keadaan yang dikenali sebagai kecil hati, baik dalam kalangan keluarga, bersahabat dan bermasyarakat. Menurut Kamus Dewan (Edisi Ketiga), kecil hati ini merupakan satu keadaan seseorang yang merasa jauh hati atau tersinggung. Kecil hati ini merupakan satu bentuk cabaran emosi yang pasti akan dilalui oleh setiap manusia. Hal ini kerana manusia tidak lari daripada melakukan kesilapan, ujian, alpa dan sering terlanjur kata atau perbuatan.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda,

"Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati."

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jelas bahawa hati mendapat tempat yang penting dalam jasad manusia. Dalam konteks tajuk artikel ini iaitu apabila seseorang berkecil hati, hati akan sakit. Apabila ia sakit dan penyakitnya melarat, maka hati akan menjadi keras dan mati.

Hal ini kerana, bila hati dibiarkan tidak sihat terlalu lama, maka pemiliknya akan stress tidak akan ceria walaupun cuba untuk ceria dan gembira. Lebih parah lagi, perkara ini dapat menjauhkan manusia daripada Tuhannya. Namun begitu, jika hati mengalahkan penyakit hatinya, maka hatinya akan menjadi sihat dan selamat. Hal ni berlaku kerana hati merupakan raja kepada jasad manusia. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

“Manusia itu dua matanya ibarat penunjuk, dua telinganya sebagai pemberi isyarat awas, lisannya sebagai penterjemah, dua tangannya sebagai sayap, dua kakinya sebagai posmen, hatinya pula sebagai raja. Kalau raja baik, maka baiklah bala tenteranya”

Hadith di atas menerangkan berkenaan kedudukan hati yang mendapat tempat tertinggi dalam diri seseorang insan. Oleh itu, hati perlu sentiasa dihidupkan dengan zikir dan makanan hati yang lain kerana hati yang suci dapat meningkatkan iman.


Punca kecil hati

Terdapat pelbagai punca seseorang berkecil hati. Misalnya daripada perbezaan pendapat atau konflik. Kecil hati merupakan satu penyakit hati kerana permasalahan yang kecil ini boleh membawa kepada dengki dan iri hati. Perasaan ini jika tidak dikawal menyebabkan masalah hati. Masalah hati yang sakit ini pula akan bertambah teruk jika terdapat manusia yang terlalu mementingkan ego dan tidak boleh dibawa berbincang.



Dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Seseorang berjumpa Rasulullah dan meminta apa-apa nasihat daripada baginda. Baginda berkata ‘jangan marah’, dan apabila diminta lagi nasihat seterusnya, baginda hanya mengulangi ‘jangan marah’.

Berdasarkan hadis tersebut, Rasulullah SAW menasihati umatnya mengawal emosi dan jangan marah. Kemarahan merupakan kunci kepada syaitan untuk menghasut manusia.

Manusia diberikan hati dan akal agar dapat menimbang apa yang bakal berlaku dalam kehidupan. Sebagai manusia biasa, adalah normal untuk mempunyai perasaan kecil hati ini. Namun begitu, manusia diberi hak sama ada ingin merasai perasaan tersebut secara serius atau hanya mengabaikan sahaja permasalahan tersebut.

Jika manusia memilih untuk merasai perasaan kecil hati, beliau pasti akan mengalami perasaan gundah gulana, resah dan sedih selagi permasalahan tidak selesai. Apabila seseorang terasa hati, beliau berhak untuk mengekspresikan ketidakpuasan hati beliau sama ada secara menegur atau bergaduh atau beliau juga boleh memendam perasaan tersebut. Namun begitu, setiap manusia perlu mempunyai ilmu dalam menegur supaya teguran tersebut tidak membawa kepada masalah yang lebih besar iaitu bermusuhan.

Islam merupakan agama yang indah dan telah menetapkan etika menegur. Jika betul cara menegur seseorang, pasti akan berkuranglah hati yang sakit. Tiga faktor yang digariskan oleh Islam bagi menjayakan sesuatu teguran itu ialah:

1.      Tidak merendahkan ego orang yang ditegur.
2.      Mencari waktu yang tepat.
3.      Memahami kedudukan orang yang ditegur.


Penawar Penyakit Kecil Hati

Antara petua untuk menyenangkan hati daripada perasaan kecil hati yang diajarkan oleh Rasululullah SAW ialah:

1.      Muhasabah Diri

Sebelum kita menyalahkan orang lain, seharusnyalah kita melihat diri kita sendiri. Mungkin kita sakit hati oleh kata – kata saudara kita, padahal dia tak bermaksud menyakiti. Cuba bertanya pada diri sendiri, mengapa saudara kita bersikap demikian. Jangan-jangan kita sendiri yang telah membuat kesalahan kepadanya.

2.      Menjauhkan diri daripada sifat iri hati dan dengki

3.      Menjauhkan diri daripada sifat amarah dan keras hati.



4.      Memupuk sifat pemaaf.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Jadilah engkau pemaaf, dan suruhlah orang mengerjakan yang ma’ruf, serta berpalinglah dari orang-orang yang bodoh” (Al-A’raf, 7:199)



5.      Husnuzon (Berprasangka baik).

Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Hai orang-orang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka. Sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa. Dan janganlah kalian mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah sebahagian kalian mengejek sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya.” (Al-Hujurat, 49:12).


6.      Ikhlaskan Diri.
Perkara yang paling mudah dicakap tetapi terlalu berat untuk dilakukan.



Kecil Hati vs Pembangunan Insan

Bagi membentuk ulul albab (menurut, Mohd Asri Zainal Abidin, ulul albab ialah golongan yang memiliki akal dan kefahaman yang matang sehingga mampu membuat keputusan yang tepat) atau pengurus dalam pembangunan insan, maka adalah perlu untuk manusia mempunyai ilmu yang kuat dan ketajaman minda untuk mengenal situasi dan bertindak mengikut situasi. Lebih daripada itu, seseorang yang mahu menjadi ulul albab atau bakal pemimpin juga perlu memastikan beliau mempunyai emosi yang kuat serta perasaan yang kukuh dan tidak mudah goyah. Beliau perlu sentiasa mengingati bahawa jangan kecil hati jika tidak dihargai. Prinsip ini perlu bagi menghasilkan seorang pemimpin yang adil.

Sebagai makhluk yang diberi kebebasan untuk menentukan haluan kehidupan, maka adalah perlu untuk bakal-bakal pemimpin memilih kehidupan yang menenangkan dan menjaga baik hubungan dengan Pencipta, alam serta sesama manusia. Kenapa perlu mencari yang susah dan memberatkan hati dengan masalah perasaan sedangkan ada pelbagai jalan untuk menggembirakan hati sendiri dan orang lain. Kecil hati jika dipendam menjadi dendam. Oleh itu, pilih cara yang terbaik untuk membuang perasaan tersebut. Sentiasa ingat, jika kita terlalu mudah berkecil hati dengan hubungan sesama manusia, bagaimana pula hubungan kita dengan Allah SWT yang ada kalanya kita lupakan?

Kesimpulannya, bagi memastikan hati sentiasa tenang sesama manusia malahan akan menggembirakan orang lain, sentiasa senyum, memohon maaf dan memaafkan.  Perkara ini jika diaplikasikan oleh pemimpin, pengurus dan pekerja, pasti dapat membentuk ummah yang harmoni dan positif.

Thursday 6 December 2012

Poligami : Kenapa Ditentang


TUGASAN BLOG SIW 505

POLIGAMI: KENAPA DITENTANG?

Nurul Nadiah Binti Md Salleh
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam)
No. Matrik: P-SM0153/12

Isu kesetaraan gender bukanlah isu baru. Malahan ia telah bermula selepas Marxisme yang mana pada masa itu ramai cuba memepertahankan hak-hak wanita serta keadilan terhadap wanita. Di dalam Islam, isu ini turut timbul apabila sebuah organisasi badan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Sisters In Islam (SIS) aktif mempertahankan keadilan terutamanya keadilan wanita dalam poligami. Bagi mereka, Islam adalah agama yang adil dan Allah S.W.T. Maha Adil, tetapi kenapa terlalu banyak hasil seperti bias kepada lelaki? Misalnya dalam pembahagian harta serta poligami dan penanggungan kelambatan proses penceraian. Atas alasan ayat al-Quran diterjemah secara manusiawi, SIS galak menuntut hak-hak wanita serta keadilan ke atas mereka. Berkecimpung dalam arena peguam menuntut aktivis-aktivis SIS menyaksikan pelbagai masalah sepeti penceraian, poligami dan hak-hak anak. Akhirnya muncul satu perasaan yang merasakan bahawa Islam yang adil memberi ketidakadilan kepada wanita. Dalam hal poligami misalnya, masalah tipu helah oleh pengamal poligami yang membakar surat nikah kedua kerana dikhuatiri isteri pertama akan mengamuk lalu akhirnya menimbulkan masalah kepada isteri kedua (NST, 5 Ogos 2005), penggugatan kestabilan rumah tangga jika adanya poligami, dan tanggungjawab memelihara kesucian keluarga diletakkan di bawah tanggungjawab isteri menguatkan lagi prinsip dan hujah SIS untuk menolak poligami.

Poligami mendapat pelbagai tanggapan. Kaum lelaki menerima poligami dengan sebab mengikut sunnah Nabi Muhammad S.A.W.. Kaum wanita menolak poligami kerana kasih mereka tidak boleh dikongsi manakala masyarakat memandang serong keluarga yang mengamalkan poligami. Poligami dikecam tanpa masyarakat itu memahami dan mendalami apakah bentuk poligami yang seharusnya diamalkan.

Poligami dari segi bahasa berasal dari perkataan Yunani iaitu “ploy” yang bermaksud banyak dan “gamien” yang bermaksud kahwin. Dari segi istilah poligami bermaksud perkahwinan dengan lebih dari seorang (Wahid, 1992). Istilah poligami menurut syariat Islam bermaksud perkahwinan seorang lelaki dengan lebih daripada seorang perempuan tapi tidak melebihi empat orang. Apabila perempuan berkahwin dengan dua orang lelaki atau lebih, ia dipanggil poliandri manakala apabila seorang lelaki berkahwin dengan dua orang perempuan atau lebih, fenomena itu dipanggil poligini. Islam hanya mengamalkan poligini. Ini berdasarkan dalil al-Qur’an yang bermaksud:
“Dan jika kamu khuatir tidak akan mampu berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yatim (ketika kamu menikahinya), maka nikahilah perempuan
(lain) yang kamu seenangi: dua, tiga atau empat. Tetapi jika kamu khuatir
 tidak akan mampu berlaku adil, maka (nikahilah) seorang saja, atau hamba
sahaya perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu lebih dekat agar
 kamu tidak berbuat zalim”
(An-Nisa’, 4:3)

Poligami Sunnah Nabi
Seperti yang semua sedia maklum, poligami merupakan sunnah nabi iaitu Nabi Muhammad S.A.W. Mengikut sunnah nabi adalah salah satu cara umat Islam mengekspresikan kecintaan mereka kepada nabi mereka selain dari berselawat ke atas nabi. Sabda Nabi Muhammad S.A.W. yang bermaksud:
Sesiapa yang mentaatiku, maka dia telah mentaati Allah dan sesiapa
 yang menderhakaiku, maka dia telah menderhakai Allah. Begitu juga
sesiapa yang mentaati petugasku, maka dia telah mentaatiku dan
sesiapa yang menderhakai petugasku, maka dia telah menderhakaiku
.”
(Hadis riwayat Bukhari)
Rasulullah S.A.W. mengamalkan dua jenis perkahwinan iaitu monogami dan poligami. Monogami semasa bersama Khadijah. Selepas Khadijah meninggal dunia barulah Rasulullah S.A.W. mengamalkan poligami iaitu semasa baginda berusia antara 55 hingga 60 tahun. Rasulullah S.A.W. mempunyai 11 orang isteri termasuk Khadijah (Firli, 2011). Hanya Saidatina Aishah yang masih gadis semasa mengahwini Rasulullah S.A.W. manakala yang lain adalah janda. Antara sebab Rasulullah S.A.W. berpoligami adalah  CITATION Abd92 \l 1033 (Baharon, 1992):
1.      Menjelaskan agama
2.      Menyempurnakan syariat Islam kerana Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud:

“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang  engkau juga telah berbuat baik kepadanya: “Jangan ceraikan isterimu itu  dan bertaqwalah kepada Allah”, sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintahNya). Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya  terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman  untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku.” (Al-Ahzab,33:37)


3.      Menjaga kesucian Islam.
4.      Mengangkat darjat kaum wanita kerana pada masa tersebut, selalu terjadi peperangan yang menyebabkan ramai syahid lalu meningkatkan bilangan janda dan anak yatim.
5.      Politik dan menyebarkan dakwah kerana Rasulullah S.A.W. turut berkahwin dengan tawanan perang dan hamba bagi menyebarkan ajaran Islam.



 Jadual 1 di bawah menjelaskan sebahagian daripada poligami Rasulullah S.A.W.
Isteri
Tujuan Perkahwinan
Hikmah perkahwinan
Zainab (Isteri Zaid anak angkat Rasulullah S.A.W.)
- Memenuhi perintah Allah S.W.T dalam surah Al-Ahzab ayat 37.
Menjelaskan bahawa anak angkat mempunyai kedudukan yang berbeza dengan anak kandung
Saidatina Aishah
- eratkan hubungan dengan Saidina Abu Bakar
- Selamatkan akidah kerana Saidatina Aishah pada masa itu telah ditunangkan dengan seorang pemuda yang belum Islam.
Saidatina Aishah menjadi pusat rujukan dan sumber hadis kerana kebijaksanaan, kuat daya ingatan, alim serta banyak menghafal hadis nabi dan meriwayatkan hadis.
Siti Hafsah
- Beri perlindungan kepada janda pejuang yang syahid.
- Eratkan hubungan dengan Saidina Umar
Siti Hafsah menjadi penyimpan teks Al-Quran tulisan tangan kerana beliau mahir membaca Al-Quran.
Siti Juwairiah
Hapuskan rasa dendam Bani Mustaliq akibat kekalahan dalam peperangan.
Bani Mustaliq memperoleh kemerdekaan beramai-ramai.
Tambahkan lagi bilangan umat Islam sebab ramai pengikut Bani Mustaliq memeluk Islam.

Lelaki dan poligami
Lelaki dan poligami memang sinonim kerana lelaki yang mengamalkan poligami. Terdapat lelaki yang berpendapat poligami itu hak mereka kerana sunnah nabi tetapi berapa ramai daripada mereka yang mendalami poligami. Poligami bukanlah satu perkara yang mudah kerana setiap yang Islam anjurkan mempunyai syarat dan peraturan yang harus dipatuhi kerana Islam adalah syumul dan menjaga umat Islam ke arah keharmonian hidup.

Poligami wujud bukanlah untuk menindas tetapi mempunyai faktor tertentu. Faktor pertama poligami dilakukan adalah kerana suami menderita batin disebabkan isteri sakit dan tidak mampu memenuhi keperluan batin suami. Bagi mengelakkan berlakunya maksiat terutamanya pada masa kini di mana lelaki mudah memperolehi pelacur, maka Islam membolehkan seorang lelaki berpoligami. Ini bagi menjaga maruah keluarga kerana poligami dapat mengelakkan penceraian yang mana penceraian merupakan satu tindakan yang halal tapi dibenci Allah S.W.T.. Faktor kedua adalah kerana isteri mandul. Ini dibolehkan berpoligami kerana tujuan perkahwinan adalah bagi mendapatkan zuriat seterusnya meramaikan umat Islam di bumi. Kerana ingin mendapatkan anak, suami dibolehkan berkahwin lain. Selain itu, poligami bertujuan menyelamatkan wanita terutamanya wanita yang kehilangan suami supaya ada tempat bergantung bagi mereka membesarkan anak-anak selain dari menyelamatkan lebih ramai wanita yang tidak berkahwin walaupun usia sudah makin lanjut.
Dalam poligami, syarat pertama yang perlu dipenuhi oleh seorang pengamal poligami adalah berkemampuan memenuhi nafkah isteri-isteri (JAKIM, 2012) selaras dengan perintah Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya;
dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia member
nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu);
Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang
diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah
ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya
 kesusahan."
(At-Talaq, 65:7)
Syarat kedua yang perlu dilaksanakan adalah keadilan dan kesaksamaan pengamal poligami. Keadilan dan kesaksamaan ini meliputi keadilan dalam membahagikan giliran bermalam, keadilan dalam memberi nafkah dan penyediaan tempat tinggal kepada isteri-isteri serta keadilan dalam bermusafir.

Wanita dan poligami
Dalam kalangan wanita, masih ramai yang menolak poligami. Menurut kajian yang telah dibuat oleh Haji Mohd Ishak iaitu Timbalan Kadi Besar Selangor pada tahun 1989, hampir 90% wanita tidak bersetuju dengan poligami kerana terdapat banyak rekod buruk penyelewengan, penganiayaan dan ketidakadilan pengamal-pengamal poligami ke atas isteri-isteri mereka (Majalah UMMI, 1989).
Antara sebab wanita sukar menerima poligami adalah pengabaian terhadap isteri tua. Apabila seorang suami berkahwin lain, banyak terjadi kejadian di mana suami tidak adil dan saksama setelah berpoligami lalu meninggalkan isteri tua memakan hati. Ibarat pepatah “sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi”. Itulah yang dikhuatiri oleh wanita jika mereka membenarkan suami berpoligami. Selain itu, terdapat beberapa kejadian di mana wanita ditipu lelaki yang mengaku bujang. Selepas berkahwin rahsia lelaki terbongkar lalu terjadi pelbagai konflik yang menakutkan wanita seperti diserang isteri tua serta dimarahi keluarga. Lebih buruk lagi jika lelaki memutuskan untuk terpaksa menceraikan dia dan pada masa yang sama, tiada harta yang boleh dituntut kerana berkahwin lari. Ini merupakan satu penganiayaan kepada wanita. Poligami sukar diterima juga kerana wanita mempertahankan bahawa suami adalah hak mereka dan tidak boleh dikongsi. Hal ini terjadi kerana perasaan menguasai diri lalu terlupa bahawa semua ini adalah milik Allah S.W.T. dan hanya pinjaman.

Yang perlu wanita tahu, setiap apa yang ditentukan Allah S.W.T. mempunyai hikmah yang kadang kala kita sendiri tidak sedar. ‘Madu’ itu manis dan akan sentiasa manis jika dijaga dengan baik dan diamalkan dengan sempurna serta mengikut syariat. Andainya suami yang berkemampuan, adil dan saksama ingin mengikut sunnah, itu bukanlah satu tamparan atau dianggap ujian hidup bagi wanita yang terus menyebabkan wanita mengamuk tidak tentu pasal tetapi itulah ganjaran. Kerana Allah S.W.T. sedang menawarkan payung emas di syurga. Di dunia wanita menghabiskan beribu ringgit untuk membeli emas hingga ke siku, tetapi tanpa perlu dibeli malahan diberi, begitu mudah ganjaran Allah S.W.T. ingin berikan.
Bukan ganjaran syurga sahaja yang diberi, urusan di dunia juga dipermudahkan andainya seorang isteri redha dimadukan. Urusan rumahtangga jika dahulunya diletakkan di atas bahunya seorang kini dikongsi berdua. Urusan melayan suami kini lebih ringan berbanding tanpa madu. Sudah ada orang yang boleh diharapkan untuk menjaga anak-anak bersama serta sudah ada teman berbual selain suami. Indah bukan? Ganjaran syurga dan dunia kita nikmati.

Poligami Dari Segi Tasawur Islam
Di dalam Islam, telah ada ayat al-Quran yang menyatakan tentang poligami (An-Nisa, 4:3). Namun begitu hukumnya bukanlah wajib. Tetapi harus dan berdasarkan syarat-syarat tertentu. Poligami bukanlah satu jenayah yang harus diperangi oleh masyarakat hanya disebabkan terpengaruh dengan media yang banyak mengetengahkan berkenaan kegagalan poligami. Berapa ramai yang memahami erti keadilan dalam poligami serta hak seorang isteri dalam poligami? Ramai yang hanya berpegang kepada pernyataan bahawa poligami mendera jiwa wanita, maka haruslah dikecam tanpa cuba mendalami konsep poligami itu sendiri. Dakyah luar dipercayai tanpa usul periksa padahal hak wanita di dalam poligami amat dipelihara. Seksyen 128 AUKI 1984 menyatakan bahawa seorang suami yang tidak memberi keadilan yang sewajamya kepada isteri telah melakukan satu kesalahan dan boleh didenda tidak lebih daripada satu ribu ringgit atau penjara tidak lebih daripada 6 bulan atau kedua-duanya sekali. Peruntukan ini jelas bertepatan dengan amalan poligami yang dianjurkan dalam Islam yang mana hak wanita tidak diapndang remeh.
Ayat al-Qur’an yang merupakan sumber utama tasawur Islam serta wahyu Allah S.W.T. bukanlah boleh ditafsir secara sewenang-wenangnya seperti yang dilakukan oleh SIS dengan niat mempertahankan hak wanita serta kesamarataan gender. Matlamat tidak menghalalkan cara. Hujah-hujah SIS menarik tetapi bercanggah dengan hukum syarak sehingga berani mengubah hukum Allah dan memutar belitkan kenyataan. Inilah golongan yang telah disebut dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
"Akan timbul di akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan
dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang
lain pakaian yang dibuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud
dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan percakapan
mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati
serigala (mempunyai tujuan-tujuan yang jahat). Allah swt. Berfirman
kepada mereka, "Apakah kamu tertipu dengan kelembutan Ku?,
 Ataukah kamu terlampau berani berbohong kepada Ku?. Demi kebesaran
Ku, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi
dikalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim (cendikiawan)
pun akan menjadi bingung (dengan sebab fitnah itu)".
  (Daripada Abu Hurairah r.a - Riwayat Tarmizi).
Andainya tidak rela diri dimadukan oleh suami, masih ada pilihan lain yang masih halal iaitu berpisah. Tetapi janganlah mempertikaikan serta memainkan hukum Allah S.W.T. Kalam Allah tidak sama dengan apa yang kita fikirkan. Allah S.W.T. Maha Mengetahui akan segala syariat yang telah ditetapkan. Mempertikaikan hukum Allah boleh merosakkan akidah kerana iman bermaksud percaya dengan hati. Seseorang yang mempertikaikan hukum Allah S.W.T boleh membawa kepada murtad.



Pengamalan poligami yang sebenar mengikut hukum syarak menimbulkan perasaan syukur di dalam hati pengamal poligami ke atas rahmat yang diberi tetapi malapetaka mungkin terjadi jika pengamalan poligami hanya difahami sebelah mata serta tanpa berlandaskan nas dan sumber yang sah dalam Islam.


Rujukan
Abdul Wahid Baharon. (1992). Poligami Menurut Pandangan Islam. Kuala Lumpur: SABHA-DTP Services Sdn. Bhd.

Ahmad Firli. (2011, Jun 18). Nama-Nama Dan Bilangan Isteri Nabi Muhammad S.A.W. Diakses pada 21 November 2012, daripada Sayap Dunia: http://sayapdunia.blogspot.com/2 011/06/nama-nama-bilangan-isteri-nabimuhammad.html

Albangi. (2010, Disember 4). Poligami – Jenayah Atau Rahmat? Diakses pada 30 November 2012, daripada Albangi's Blog: http://albangi.wordpress.com/2010/12/04/poligami jenayah-atau-rahmat/
JAKIM. (2012). Diakses pada 20 November 2012, daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia: http://www.islam.gov.my/

Nur S. Biedyn Beseri. (1992). Kahwin Cara Arqam. Selangor: Trans Medias Publications.

Sisters In Islam. (2005, Ogos 10). Poligami - Adil dan Saksama untuk Siapa? Diakses pada 28       November 2012, daripada Sisters In Islam: Empowering Voices for Change:  http://www.sistersinislam.org.my/news.php?item.1015.7


Suhaiza Shuhaimi & Khairunnisa Assila (2012, Februari 29). I Luv Islam.Com. Diakses pada 21      November 2012, daripada Poligami: Madu Itu Pahit: http://www.iluvislam.com/keluarga/perkahwinan/4291-poligami-madu-itu pahit.html)

Widad Ali. (2011, November 9). Seni layar sebagai medium dakwah. Diakses pada 30 November 2012, daripada Apa-Apa Aja: http://widyapa2aja.blogspot.com/2011/11/seni-layar-sebagai-medium-dakwah.html