TUGASAN BLOG SVW 502
KECIL HATI: DURI DALAM DAGING
Nurul Nadiah Binti Md Salleh
No. Matrik: P-SM0153/12
Calon Sarjana Sains
Kemasyarakatan
(Pengurusan Pembangunan Islam)
Dalam hubungan manusia sesama manusia (hablumminannas), pastinya akan terjadi sesuatu
keadaan yang dikenali sebagai kecil hati, baik dalam kalangan keluarga,
bersahabat dan bermasyarakat. Menurut Kamus Dewan (Edisi Ketiga), kecil hati
ini merupakan satu keadaan seseorang yang merasa jauh hati atau tersinggung.
Kecil hati ini merupakan satu bentuk cabaran emosi yang pasti akan dilalui oleh
setiap manusia. Hal ini kerana manusia tidak lari daripada melakukan kesilapan,
ujian, alpa dan sering terlanjur kata atau perbuatan.
Nabi Muhammad
s.a.w bersabda,
"Sesungguhnya
dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah
seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka
kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah
hati."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Jelas bahawa hati mendapat tempat
yang penting dalam jasad manusia. Dalam konteks tajuk
artikel ini iaitu apabila seseorang berkecil hati, hati akan sakit. Apabila
ia sakit dan penyakitnya melarat, maka hati akan menjadi keras dan mati.
Hal ini kerana, bila hati
dibiarkan tidak sihat terlalu lama, maka pemiliknya akan stress tidak akan ceria walaupun cuba untuk ceria dan
gembira. Lebih parah lagi, perkara ini dapat menjauhkan manusia daripada
Tuhannya. Namun begitu, jika hati mengalahkan penyakit hatinya, maka hatinya akan
menjadi sihat dan selamat. Hal ni berlaku kerana hati merupakan raja kepada
jasad manusia. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:
“Manusia itu dua
matanya ibarat penunjuk, dua telinganya sebagai pemberi isyarat awas, lisannya
sebagai penterjemah, dua tangannya sebagai sayap, dua kakinya sebagai posmen,
hatinya pula sebagai raja. Kalau raja baik, maka baiklah bala tenteranya”
Hadith di atas menerangkan berkenaan
kedudukan hati yang mendapat tempat tertinggi dalam diri seseorang insan. Oleh
itu, hati perlu sentiasa dihidupkan dengan zikir dan makanan hati yang lain
kerana hati yang suci dapat meningkatkan iman.
Punca
kecil hati
Terdapat pelbagai punca seseorang
berkecil hati. Misalnya daripada perbezaan pendapat atau konflik. Kecil hati
merupakan satu penyakit hati kerana permasalahan yang kecil ini boleh membawa
kepada dengki dan iri hati. Perasaan ini jika tidak dikawal menyebabkan masalah
hati. Masalah hati yang sakit ini pula akan
bertambah teruk jika terdapat manusia yang terlalu mementingkan ego dan tidak
boleh dibawa berbincang.
Dalam sebuah hadis yang bermaksud:
“Seseorang berjumpa
Rasulullah dan meminta apa-apa nasihat daripada baginda. Baginda berkata
‘jangan marah’, dan apabila diminta lagi nasihat seterusnya, baginda hanya
mengulangi ‘jangan marah’.
Berdasarkan hadis
tersebut, Rasulullah SAW menasihati umatnya mengawal emosi dan jangan marah.
Kemarahan merupakan kunci kepada syaitan untuk menghasut manusia.
Manusia diberikan hati dan akal agar
dapat menimbang apa yang bakal berlaku dalam kehidupan. Sebagai manusia biasa,
adalah normal untuk mempunyai perasaan kecil hati ini. Namun begitu, manusia
diberi hak sama ada ingin merasai perasaan tersebut secara serius atau hanya
mengabaikan sahaja permasalahan tersebut.
Jika manusia memilih untuk merasai
perasaan kecil hati, beliau pasti akan mengalami perasaan gundah gulana, resah
dan sedih selagi permasalahan tidak selesai. Apabila seseorang terasa hati,
beliau berhak untuk mengekspresikan ketidakpuasan hati beliau sama ada secara
menegur atau bergaduh atau beliau juga boleh memendam perasaan tersebut. Namun
begitu, setiap manusia perlu mempunyai ilmu dalam menegur supaya teguran
tersebut tidak membawa kepada masalah yang lebih besar iaitu bermusuhan.
Islam merupakan agama yang indah dan
telah menetapkan etika menegur. Jika betul cara menegur seseorang, pasti akan
berkuranglah hati yang sakit. Tiga faktor yang digariskan oleh Islam bagi
menjayakan sesuatu teguran itu ialah:
1.
Tidak merendahkan ego orang yang ditegur.
2.
Mencari waktu yang tepat.
3.
Memahami kedudukan orang yang ditegur.
Penawar Penyakit Kecil
Hati
Antara petua untuk menyenangkan hati
daripada perasaan kecil hati yang diajarkan oleh Rasululullah SAW ialah:
1. Muhasabah
Diri
Sebelum
kita menyalahkan orang lain, seharusnyalah kita melihat diri kita
sendiri. Mungkin kita sakit hati oleh kata – kata saudara kita, padahal
dia tak bermaksud menyakiti. Cuba bertanya pada diri sendiri, mengapa
saudara kita bersikap demikian. Jangan-jangan kita sendiri yang telah
membuat kesalahan kepadanya.
2. Menjauhkan diri daripada sifat iri hati dan dengki
3. Menjauhkan diri daripada sifat amarah dan keras hati.
4. Memupuk
sifat pemaaf.
Allah
SWT berfirman yang bermaksud:
“Jadilah engkau pemaaf, dan suruhlah orang mengerjakan
yang ma’ruf, serta berpalinglah dari orang-orang yang bodoh” (Al-A’raf, 7:199)
5. Husnuzon
(Berprasangka baik).
Allah
SWT berfirman yang bermaksud:
“Hai orang-orang beriman, jauhilah
kebanyakan daripada prasangka. Sesungguhnya sebahagian prasangka itu
adalah dosa. Dan janganlah kalian mencari-cari kesalahan orang lain, dan
janganlah sebahagian kalian mengejek sebahagian yang lain. Sukakah salah
seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah
kamu merasa jijik kepadanya.” (Al-Hujurat, 49:12).
6. Ikhlaskan Diri.
Perkara yang paling mudah dicakap tetapi terlalu berat
untuk dilakukan.
Kecil Hati vs
Pembangunan Insan
Bagi membentuk ulul albab (menurut, Mohd Asri Zainal Abidin, ulul albab ialah golongan yang memiliki akal dan kefahaman yang matang
sehingga mampu membuat keputusan yang tepat)
atau pengurus dalam pembangunan insan, maka adalah perlu untuk manusia
mempunyai ilmu yang kuat dan ketajaman minda untuk mengenal situasi dan
bertindak mengikut situasi. Lebih daripada itu, seseorang yang mahu menjadi ulul albab atau bakal pemimpin juga
perlu memastikan beliau mempunyai emosi yang kuat serta perasaan yang kukuh dan
tidak mudah goyah. Beliau perlu sentiasa mengingati bahawa jangan kecil hati
jika tidak dihargai. Prinsip ini perlu bagi menghasilkan seorang pemimpin yang
adil.
Sebagai makhluk yang diberi kebebasan
untuk menentukan haluan kehidupan, maka adalah perlu untuk bakal-bakal pemimpin
memilih kehidupan yang menenangkan dan menjaga baik hubungan dengan Pencipta,
alam serta sesama manusia. Kenapa perlu mencari yang susah dan memberatkan hati
dengan masalah perasaan sedangkan ada pelbagai jalan untuk menggembirakan hati
sendiri dan orang lain. Kecil hati jika dipendam menjadi dendam. Oleh itu,
pilih cara yang terbaik untuk membuang perasaan tersebut. Sentiasa ingat, jika
kita terlalu mudah berkecil hati dengan hubungan sesama manusia, bagaimana pula
hubungan kita dengan Allah SWT yang ada kalanya kita lupakan?
Kesimpulannya, bagi memastikan hati
sentiasa tenang sesama manusia malahan akan menggembirakan orang lain, sentiasa
senyum, memohon maaf dan memaafkan. Perkara ini jika diaplikasikan oleh pemimpin,
pengurus dan pekerja, pasti dapat membentuk ummah
yang harmoni dan positif.