Wednesday 18 December 2013

Kecil Hati: Duri Dalam Daging


TUGASAN BLOG SVW 502

KECIL HATI: DURI DALAM DAGING

Nurul Nadiah Binti Md Salleh
No. Matrik: P-SM0153/12
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan
(Pengurusan Pembangunan Islam)


Dalam hubungan manusia sesama manusia (hablumminannas), pastinya akan terjadi sesuatu keadaan yang dikenali sebagai kecil hati, baik dalam kalangan keluarga, bersahabat dan bermasyarakat. Menurut Kamus Dewan (Edisi Ketiga), kecil hati ini merupakan satu keadaan seseorang yang merasa jauh hati atau tersinggung. Kecil hati ini merupakan satu bentuk cabaran emosi yang pasti akan dilalui oleh setiap manusia. Hal ini kerana manusia tidak lari daripada melakukan kesilapan, ujian, alpa dan sering terlanjur kata atau perbuatan.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda,

"Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati."

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jelas bahawa hati mendapat tempat yang penting dalam jasad manusia. Dalam konteks tajuk artikel ini iaitu apabila seseorang berkecil hati, hati akan sakit. Apabila ia sakit dan penyakitnya melarat, maka hati akan menjadi keras dan mati.

Hal ini kerana, bila hati dibiarkan tidak sihat terlalu lama, maka pemiliknya akan stress tidak akan ceria walaupun cuba untuk ceria dan gembira. Lebih parah lagi, perkara ini dapat menjauhkan manusia daripada Tuhannya. Namun begitu, jika hati mengalahkan penyakit hatinya, maka hatinya akan menjadi sihat dan selamat. Hal ni berlaku kerana hati merupakan raja kepada jasad manusia. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

“Manusia itu dua matanya ibarat penunjuk, dua telinganya sebagai pemberi isyarat awas, lisannya sebagai penterjemah, dua tangannya sebagai sayap, dua kakinya sebagai posmen, hatinya pula sebagai raja. Kalau raja baik, maka baiklah bala tenteranya”

Hadith di atas menerangkan berkenaan kedudukan hati yang mendapat tempat tertinggi dalam diri seseorang insan. Oleh itu, hati perlu sentiasa dihidupkan dengan zikir dan makanan hati yang lain kerana hati yang suci dapat meningkatkan iman.


Punca kecil hati

Terdapat pelbagai punca seseorang berkecil hati. Misalnya daripada perbezaan pendapat atau konflik. Kecil hati merupakan satu penyakit hati kerana permasalahan yang kecil ini boleh membawa kepada dengki dan iri hati. Perasaan ini jika tidak dikawal menyebabkan masalah hati. Masalah hati yang sakit ini pula akan bertambah teruk jika terdapat manusia yang terlalu mementingkan ego dan tidak boleh dibawa berbincang.



Dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Seseorang berjumpa Rasulullah dan meminta apa-apa nasihat daripada baginda. Baginda berkata ‘jangan marah’, dan apabila diminta lagi nasihat seterusnya, baginda hanya mengulangi ‘jangan marah’.

Berdasarkan hadis tersebut, Rasulullah SAW menasihati umatnya mengawal emosi dan jangan marah. Kemarahan merupakan kunci kepada syaitan untuk menghasut manusia.

Manusia diberikan hati dan akal agar dapat menimbang apa yang bakal berlaku dalam kehidupan. Sebagai manusia biasa, adalah normal untuk mempunyai perasaan kecil hati ini. Namun begitu, manusia diberi hak sama ada ingin merasai perasaan tersebut secara serius atau hanya mengabaikan sahaja permasalahan tersebut.

Jika manusia memilih untuk merasai perasaan kecil hati, beliau pasti akan mengalami perasaan gundah gulana, resah dan sedih selagi permasalahan tidak selesai. Apabila seseorang terasa hati, beliau berhak untuk mengekspresikan ketidakpuasan hati beliau sama ada secara menegur atau bergaduh atau beliau juga boleh memendam perasaan tersebut. Namun begitu, setiap manusia perlu mempunyai ilmu dalam menegur supaya teguran tersebut tidak membawa kepada masalah yang lebih besar iaitu bermusuhan.

Islam merupakan agama yang indah dan telah menetapkan etika menegur. Jika betul cara menegur seseorang, pasti akan berkuranglah hati yang sakit. Tiga faktor yang digariskan oleh Islam bagi menjayakan sesuatu teguran itu ialah:

1.      Tidak merendahkan ego orang yang ditegur.
2.      Mencari waktu yang tepat.
3.      Memahami kedudukan orang yang ditegur.


Penawar Penyakit Kecil Hati

Antara petua untuk menyenangkan hati daripada perasaan kecil hati yang diajarkan oleh Rasululullah SAW ialah:

1.      Muhasabah Diri

Sebelum kita menyalahkan orang lain, seharusnyalah kita melihat diri kita sendiri. Mungkin kita sakit hati oleh kata – kata saudara kita, padahal dia tak bermaksud menyakiti. Cuba bertanya pada diri sendiri, mengapa saudara kita bersikap demikian. Jangan-jangan kita sendiri yang telah membuat kesalahan kepadanya.

2.      Menjauhkan diri daripada sifat iri hati dan dengki

3.      Menjauhkan diri daripada sifat amarah dan keras hati.



4.      Memupuk sifat pemaaf.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Jadilah engkau pemaaf, dan suruhlah orang mengerjakan yang ma’ruf, serta berpalinglah dari orang-orang yang bodoh” (Al-A’raf, 7:199)



5.      Husnuzon (Berprasangka baik).

Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Hai orang-orang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka. Sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa. Dan janganlah kalian mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah sebahagian kalian mengejek sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya.” (Al-Hujurat, 49:12).


6.      Ikhlaskan Diri.
Perkara yang paling mudah dicakap tetapi terlalu berat untuk dilakukan.



Kecil Hati vs Pembangunan Insan

Bagi membentuk ulul albab (menurut, Mohd Asri Zainal Abidin, ulul albab ialah golongan yang memiliki akal dan kefahaman yang matang sehingga mampu membuat keputusan yang tepat) atau pengurus dalam pembangunan insan, maka adalah perlu untuk manusia mempunyai ilmu yang kuat dan ketajaman minda untuk mengenal situasi dan bertindak mengikut situasi. Lebih daripada itu, seseorang yang mahu menjadi ulul albab atau bakal pemimpin juga perlu memastikan beliau mempunyai emosi yang kuat serta perasaan yang kukuh dan tidak mudah goyah. Beliau perlu sentiasa mengingati bahawa jangan kecil hati jika tidak dihargai. Prinsip ini perlu bagi menghasilkan seorang pemimpin yang adil.

Sebagai makhluk yang diberi kebebasan untuk menentukan haluan kehidupan, maka adalah perlu untuk bakal-bakal pemimpin memilih kehidupan yang menenangkan dan menjaga baik hubungan dengan Pencipta, alam serta sesama manusia. Kenapa perlu mencari yang susah dan memberatkan hati dengan masalah perasaan sedangkan ada pelbagai jalan untuk menggembirakan hati sendiri dan orang lain. Kecil hati jika dipendam menjadi dendam. Oleh itu, pilih cara yang terbaik untuk membuang perasaan tersebut. Sentiasa ingat, jika kita terlalu mudah berkecil hati dengan hubungan sesama manusia, bagaimana pula hubungan kita dengan Allah SWT yang ada kalanya kita lupakan?

Kesimpulannya, bagi memastikan hati sentiasa tenang sesama manusia malahan akan menggembirakan orang lain, sentiasa senyum, memohon maaf dan memaafkan.  Perkara ini jika diaplikasikan oleh pemimpin, pengurus dan pekerja, pasti dapat membentuk ummah yang harmoni dan positif.